Menu Makanan / Nak Makan Di Mana? / Geno-Geno / Sekapur Sireh / Disclaimer / Contact Us
Muzium Arkeologi Lenggong
atau lebih dikenali sebagai Muzium Arkeologi Kota Tampan. Antara yang menjadi tumpuan pengunjung ialah rangka manusia berusia 11,000 tahun yang dikenali sebagai Perak Man. Juga peralatan batu berusia 75,000 tahun ditemui di Kota Tampan dan Bukit Jawa yang kedua-duanya terletak di Lembah Lenggong. Muzium ini dibuka setiap hari dan masuk percuma.
Tasik Raban
Ramai pengusaha bot pelancongan menawarkan pakej untuk melawat sekitar tasik. Tasik buatan yang terhasil daripada pembinaan empangan Chenderoh ini kaya dengan spesies ikan air tawar seperti loma, lampan, baung dan patin turut menjadi tumpuan kaki pancing.
Lata Kekabu
Menikmati deruman air terjun, Hutan Lipur Lata Kekabu sedia menanti pengunjung bagi yang ingin mandi-manda . Ia terletak hampir 10 kilometer dari bandar Lenggong dan kaya dengan pokok hutan seperti meranti, kempas, jelutung dan keruing.
Lokasinya mudah ditemui kerana terdapat papan tanda di jalan masuk dari laluan utama ke Gerik.
Ladang Rusa di Kg. Sumpitan
Royal Belum State Park
Hutan Belum yang diwartakan sebagai Taman Negeri Perak telah diisytihar semula sebagai `The Royal Belum’ oleh DYMM Sultan Azlan Shah, Sultan Perak pada bulan 31 Julai 2003. Ia berkeluasan 117,500 hektar, terletak di Daerah Hulu Perak. Kawasan ini hanya boleh dihubungi melalui pengangkutan air dari Pulau Banding yang mengambil masa sekitar satu jam setengah.
Gua-Gua Bersejarah :
Terdapat 7 lokasi tapak-tapak warisan peninggalan sejarah paleolitik di Lembah Lenggong.
Gua Gunung Runtuh
di Kampung Ulu Jepai.
Rangka manusia paling tua ditemui di Malaysia. Perak Man merupakan rangka manusia yang terlengkap sekali di Asia Tenggara untuk Zaman Paleolitik. Beliau dilahirkan dengan kecacatan genetik (Brachymesophalangia). Perak Man telah dikebumikan dengan satu upacara amal dan keadaan berlipat iaitu kedua-dua kakinya dilipatkan ke bahagian badan dan tangannya diletakkan di atas dada dan bahu.
Perak Man juga dikirimkan dengan alat-alat batu, daging dan beribu siput sedut yang ditaburkan di sekeliling badannya. Perak Man ialah seorang lelaki berusia 40-45 tahun, 154 sm tinggi, sihat semasa hidupnya, memakan makanan berserat dan kerap mencangkung. Beliau dilahirkan cacat, tetapi hidup lebih lama daripada masyarakat sezamannya yang hidup selama 20-30 tahun sahaja.
Perjalanan ke Gua Gunung Runtuh ini memakan masa selama 45 minit menerusi Kampung Ulu Jepai berdekatan Kampung Gelok, Lenggong. Penyelidikan di Gua Gunung Runtuh telah dijalankan oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia USM dengan kerjasama Jabatan Muzium dan Antikuiti dalam tahun 1990. Penemuan terpenting di gua ini ialah rangka manusia yang dinamakan Perak Man oleh Prof. Emiritius Dato’ Zuraina Majid.
Gua Badak
Apa yang menarik ialah terdapat lukisan gua yang dilukis dengan arang dan juga digores oleh masyarakat Negrito yang mendiami gua ini. I.H.N Evans telah melaporkan penemuan lukisan ini dalam tahun 1924. Selain itu dalam tahun 1926 penemuan tembikar serta alat batu bergilap zaman Neolitik.
Sebahagian gua ini telah musnah akibat kerja-kerja kuari pada awal tahun 1980. Antara motif lukisan ialah aktiviti berburu menggunakan panah, membawa buah kelapa, menunggang kuda dan gajah.
Selain itu terdapat imej haiwan seperti beruk, ayam, tenggiling, biawak, kuda disamping pelbagai motif abstrak yang sukar dimengertikan maknanya serta motif geometri yang mempunyai hubungan dengan pandangan mereka terhadap alam semesta.
Gua Harimau
di Kg. Gua Badak
Ekskavasi dalam tahun 1987, 1988 dan 1999 telah menemukan tapak pengkebumian manusia berusia 2,000 – 5,000 tahun dahulu. Sebanyak 11 rangka manusia telah ditemui dengan barang kiriman yang terdiri daripada bekas tembikar, alat batu, kapak gangsa, perhiasan badan dan sisa makanan.
Gua Harimau merupakan tapak arkeologi yang penting kerana telah mendedahkan bukti pengkebumian zaman Neolitik-Logam dengan acuan dan kapak gangsanya yang terawal sekitar 4,000 tahun dahulu. Penemuan alat gangsa dan acuannya menggambarkan penghasilan alat gangsa di kawasan Lenggong telah membuktikan bahawa kawasan pembuatan gangsa tidak hanya terhad di kawasan utara dan tengah Thailand sahaja.
Gua Puteri
Terdapat pelbagai bentuk stalaktit dan stalagmit yang pernah direkodkan seperti bentuk peta Malaysia, katak, orang bersanding, kepala gajah, kelambu dan sebagainya sehingga timbul cerita kononnya akibat terkena sumpahan Sang Kelembai. Sebenarnya ia adalah proses semulajadi stalaktit dan stalagmit mengikut peluang dan ruang yang ada semasa pembentukkannya.
Gua Puteri merupakan terowong semulajadi di dalam formasi Bukit Kepala Gajah. Lukisan gua oleh puak Negrito dijumpai disini tetapi bukannya pra-sejarah kerana berusia kira-kira 100 tahun. Tiada sebarang penemuan arkeologi ditemui disini tetapi gua ini terkenal dengan lagendanya.
Dua stalagmit disini dipercayai merupakan puteri dan putera penjaga gua. Sehingga kini, pelbagai formasi batu boleh dijumpai di dalam gua puteri antaranya pasangan pengantin yang dipercayai disumpah menjadi batu oleh Sang Kelembai dan juga katak. Gua ini antara gua yang paling kerap dikunjungi oleh pelancong di Lenggong. Gua ini boleh dikunjungi dengan mudah melalui platform yang disediakan oleh Jabatan Warisan Negara.
Gua Kajang
di Kg.Gelok
Pada masa ini, sebahagian besar lantai gua telah termusnah akibat aktiviti pengambilan baja guano dan banyak dinding gua yang diconteng dengan lukisan baru. Gua ini adalah gua yang pertama dijalankan ekskavasi di negara ini, iaitu pada tahun 1917 oleh Evans. Kajian pertama ini menemui pecahan tembikar, alat batu, sisa makanan dan juga tinggalan rangka manusia. Kajian lanjutan oleh USM telah menemui bukti Gua Kajang telah digunakan sejak 11,000 hingga 5,000 tahun dahulu.
Berdasarkan kajian, gua ini dihuni dan dijadikan kawasan pengebumian yang melibatkan dua budaya iaitu Paleolitik dan Neolitik. Pengebumian Paleolitik mendedahkan rangka manusia (GK1) yang bertarikh 10,820 +/- 60BP, dikebumikan dalam keadaan terlipat bersama kiriman pengebumian sisa makanan, alat batu unifas dan bifas.
Pada perbezaan 20sm kedalaman, pada jarak satu meter ke tenggara GK1, ditemui pengebumian Neolitik (GK2) yang bertarikh 7,890 +/- 80BP, dikebumikan dalam keadaan memanjang bersama sisa makanan, alat batu dan tembikar.
Data ini mendedahkan dua perkara penting, iaitu (1) merupakan usia tertua tembikar negara, dan (2) berlaku keterusan budaya Paleolitik sehingga awal Holosen. Selain bukti arkeologi, Gua Kajang juga mendedahkan formasi gua yang menarik, berbentuk terowong dan banyak stalaktit dan stalagmit.
Gua Ngaum
Gua Ngaum terletak dalam kompleks batu kapur Bukit Kepala Gajah. Gua ini telah ditemui oleh USM pada tahun 1990, dan dinamakan ‘ngaum’ kerana semasa penemuan gua ini telah keluar seekor harimau kumbang yang mengaum daripada mulut gua.
Kajian arkeologi di gua ini telah mendedahkan bukti ia digunakan pada sekitar 7,000 – 6,000 tahun dahulu dalam bentuk sisa makanan, alat batu dan juga pecahan tembikar.
Gua Teluk Kelawar
di Kg. Belok
Gua Teluk Kelawar terletak di Bukit Kepala Gajah, kira-kira 1 km dari pekan Lenggong, Perak. Kajian arkeologi di Gua Teluk Kelawar oleh Pusat Penyelidikan Arkeologi Malaysia telah dimulakan semenjak 1990 hingga kini.
Ekskavasi arkeologi di Gua Teluk Kelawar juga menemui serpihan tembikar bertanda tali yang awal, sekitar 6,000 tahun dahulu. Sisa-sisa fauna tulang dan cengkerang dan haiwan seperti monyet , kijang, babi hutan dan reptilia.
Pada tahun 2004, satu lagi rangka manusia telah dijumpai yang berusia 8000 tahun yang digelar Perak Woman telah dijumpai di Gua Teluk Kelawar oleh satu pasukan ahli arkeologi dari Universiti Sains Malaysia (USM). Perak Woman mempunyai ketinggian 148sm dan dipercayai berumur 40 tahun ketika dikebumikan.
*info berkaitan gua-gua di atas di ambil dari info Majlis Pelancongan Komuniti Lenggong
Home / Harga Bilik / Cara Tempahan / Fasiliti / Lokasi / Galeri / Tempat Menarik / Menu Makanan / Nak Makan Di Mana? / Geno-geno / Sekapur Sireh / Disclaimer / Contact Us
No comments:
Post a Comment